Tinta Penulis


                                 بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام على رسول الله

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberikanNya. Jikalau nak dihitung segala nikmat yang kita miliki hari ini, sudah tentu tidak akan terhitung banyaknya Allah berikan kepada kita. Syukur padamu Ya Allah!

Laman blog peribadi shahrulfaizie.com ini diwujudkan sebagai salah satu usaha saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada pengunjung laman maya semua. Hampir 2 tahun blog ini 'terbiar' begitu sahaja atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan dan akhirnya penghujung bulan 12 tahun 2013, syukur alhamdulillah kerana saya diberikan kesempatan untuk menulis kembali.

Tidak dapat dinafikan setiap buah fikiran dan mainan perasaan yang diterjemah melalui penulisan mampu mengubah kehidupan seseorang. Jikalau apa yang diterjemahkan itu baik maka baiklah kesannya tetapi jika sebaliknya anda pasti tahu apa natijah yang bakal berlaku.

Manusia telah ditaklifkan sebagai khalifah di atas muka bumi. Khalifah yang akan memakmurkan bumi dengan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Zaman bersilih ganti menyaksikan kemajuan teknologi hari ini. Semua maklumat boleh diperolehi hanya di hujung jari. Seorang khalifah juga perlu bijak dalam menggunakan segala kecanggihan yang terhidang ini. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah menulis sesuatu yang bermanfaat di laman maya ini.

Nabi S.A.W pernah bersabda :

                                                               وخير الناس أنفعهم للناس
"Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain." (HR At-Thabrani & Daruquthni)

Memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Itulah yang kita semua inginkan. Orang sebegini akan sentiasa disenangi dan disayangi. Lahirnya dirai, perginya ditangisi. Bukan hanya penduduk bumi yang senang dengannya malahan penduduk di langit juga.

Akhir kalam, ambillah peluang dalam setiap hembusan nafas yang masih ada ini untuk berbakti dan berbudi kepada masyarakat. Saya juga sentiasa berdoa semoga segala penulisan saya ini dipandu dengan niat yang baik, hati yang bersih dan akal yang waras supaya pembaca dapat memahami sekaligus bermanfaat buat mereka. "Empower your inner strength"

Wallahu a'alam.

Al-Faqir ila Allah
Mohd Shahrul Faizie bin Zaini