..:: Marhaban Ya Ramadhan ::..




Salam Ramadhan buat sahabat semua
. Bagaimana puasa anda hari ini? Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjanjikan perubahan yang terbaik buat kita semua. Sahabatku, sebagaimana yang kita ketahui, bulan Ramadhan menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran kepada kita semua. Mungkin ada yang telah lebih 15 tahun berpuasa dan saban tahun apabila tibanya Ramadhan, pasti kita akan dikhabarkan tentang berita gembira berkenaan bulan Ramadhan itu sendiri.

Antara fadhilat dan keistimewaan yang boleh ana kongsikan antaranya ialah bulan Ramadhan itu merupakan penghulu segala bulan. Sahabatku, kita sedia maklum bulan Ramadhan merupakan ketua bagi 11 bulan yang lain. Ini menunjukkan bahawa Ramadhan adalah bulan yang mana di dalamnya terkandung 'modul' serta pengisian yang terbaik semestinya ciptaan Allah. Bulan Ramadhan jugalah bulan untuk kita persiapkan diri dengan bekalan ketaqwaan agar kita dapat menempuh segala ranjau berduri bagi 11 bulan selain Ramadhan. Oleh kerana itulah ia digelar "Penghulu Segala Bulan".


Menyentuh tentang 'modul' serta pengisian di bulan Ramadhan, kita lihat Allah telah menyediakan bagi kita modul-modul seperti qiyamullail, tadarrus Al-Quran, solat tarawikh, berpuasa dan banyak lagi. Mengambil tadarrus Al-Quran sebagai contoh, mungkin ada di antara kita yang liat untuk membaca Quran di bulan selain Ramadhan. Al-Quran pun sampai berdebu mengharapkan kipas angin yang tolong hilangkan debu tersebut. Apabila tibanya bulan Ramadhan, kesedaran unttuk bertadarrus Al-Quran pasti timbul dalam diri kita. Itulah pengisian dan modul yang telah Allah sediakan untuk kita. Disamping itu juga, sahabat..kita perlulah merangka modul kita sendiri sebelum Ramadhan itu tiba. Apa pengisian yang perlu kita lakukan ketika Ramadhan? Adakah kita hanya berdiam diri sehingga Ramadhan meninggalkan kita? Alangkah ruginya kita..Justeru, penuhilah Ramadhan dengan pengisian yang bermanfaat.

Ramadhan juga dikenali sebagai 'bengkel' atau 'kursus' bagi umat Islam. Cuba kita bayangkan, sewaktu di universiti ataupun sekolah menengah dahulu, kita sering dihantar untuk menghadiri kursus seperti Kem Kepimpinan Pengawas, Kem Jati Diri dan lain-lain lagi. Apa tujuannya? Tujuannya tak lain tak bukan untuk meningkatkan lagi kemahiran serta keupayaan kita dalam sesuatu bidang. Dalam erti kata yang mudah, bengkel atau kursus bertujuan untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Ini selaras dengan konsep bulan Ramadhan itu sendiri. bulan Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk kita berubah kepada yang lebih baik. Apa akan terjadi apabila kita menghadiri kursus selama 3 hari tetapi sepanjang kursus berlangsung, kita hanya tidur tanpa berbuat apa-apa..Pasti tiada perubahan akan berlaku..Begitu juga dengan Ramadhan. Jikalau selama satu bulan kita bertapak di bulan Ramadhan tanpa memanfaatkan segala peluang yang dihidangkan, betapa ruginya kita...mudah-mudahan dijauhkan..


Sebagai penutup bicara, jadilah seperti sebiji telur. Apabila direndam di dalam air masin, pasti akan menjadi masin. Begitu juga dengan kita. Kita memasuki bulan Ramadhan dan meninggalkannya dengan kesedaran serta perubahan. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjanjikan segalanya yang terbaik untuk kita semua...Wallahu A'alam.


0 comments:

Post a Comment